Padah longgok tayar terpakai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Sebuah syarikat telah dikenakan kompaun sebanyak $200 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), di sini, hari ini, syarikat berkenaan didapati melonggokkan tayar-tayar terpakai dekat tebing sungai Kampung Limbongan berhadapan dengan Jambatan Penghubung Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan. Berikutan dengan siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, JBBSB ke atas pekerja syarikat berkenaan, syarikat itu didapati melakukan kesalahan tersebut.

Dalam kes berkenaan, syarikat berkenaan dikehendaki membayar kompaun dalam tempoh tiga hari dan jika gagal akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000 manakala itu, denda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan bagi kesalahan seterusnya.

JBBSB juga mengingatkan syarikat perniagaan dan orang ramai supaya tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi menjaga kemaslahatan orang ramai serta menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam. Sebarang aduan dan perkongsian maklumat boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang JBBSB atau e-mel [email protected]

Tayar-tayar terpakai yang dilonggokkan oleh sebuah syarikat swasta berdekatan tebing sungai Kampung Limbongan berhadapan dengan Jambatan Penghubung Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan. – Gambar serahan JBBSB