Padah menghendap kena 6 bulan penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Seorang lelaki yang menghendap wanita di tandas awam terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin, yang telah menambah hukuman daripada dua bulan kepada enam bulan penjara.

Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Atiyyah binti PD Haji Abas yang mengemukakan rayuan hukuman ke atas Mahmud Sulaiman bin Haji Husin, dengan alasan hukuman dua bulan yang dijatuhkan sebelum ini adalah tempoh yang singkat.

Ketua hakim bersetuju dengan alasan pihak pendakwa selaku perayu, dan berkata kesalahan tertuduh melibatkan pencabulan serius terhadap privasi wanita di mana perbuatan ‘tidak sopan’ tertuduh dilakukan semata-mata untuk memperoleh kepuasan seksual.

Dalam hal ini, hukuman berbentuk pencegahan perlu dikenakan, kata ketua hakim sambil menambah tandas awam perlu selamat untuk kegunaan golongan wanita.

Tertuduh sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada 28 Mac 2020 dan dihukum dua bulan penjara kerana menghendap seorang wanita yang membuang air kecil di tandas Kompleks Bumiputera Pekan Bangar, Temburong dalam kejadian pada 26 Mac 2020.
Wanita itu yang merasa dirinya diperhatikan terkejut apabila mendongak ke atas dan melihat tertuduh mengintainya dari kubikel tandas sebelah.

Wanita itu menjerit dan tertuduh melarikan diri. Tertuduh bagaimanapun berjaya diberkas di belakang bangunan oleh rakan wanita tersebut.