Thursday, July 17, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padah mengintai, dipenjara 18 bulan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, telah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengambil video dua orang wanita di dalam bilik mandi.

    Semasa menjatuhkan hukuman ke atas Muhd Nurjawaini bin Musli, Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjelaskan bahawa perbuatan tertuduh merupakan pelanggaran privasi yang serius yang dilakukannya dengan tujuan memenuhi keinginan seksualnya dan ia memerlukan hukuman bagi mencegah orang lain daripada melakukan hal sama.

    Fakta kes yang didedahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kiprawi menyatakan bahawa pada 2 Oktober lepas, tertuduh pergi mengunjungi seorang rakan dan tertuduh menyedari akan keberadaan adik-beradik perempuannya di rumah tersebut.

    Kira-kira 6 petang, tertuduh menyedari adik-beradik perempuan rakannya itu telah pergi ke bilik mandi lalu mengambil telefon bimbitnya dan mula merakamnya dengan cara membongkokkan badannya ke bawah secara senyap dan merakam dari celah bawah pintu bilik mandi.

    Tertuduh berhasil merakam enam video yang keseluruhannya berdurasi 17 minit.
    Pada hari berikutnya, tertuduh sekali lagi datang ke rumah tersebut dan kira-kira pukul 4 petang, tertuduh menyedari wanita berusia 41 tahun yang merupakan rakan mangsa yang tidak dikenalinya memasuki bilik mandi.

    Tertuduh sekali lagi mengeluarkan telefon bimbitnya dan mencengkung untuk merakam video dari celah bawah pintu bilik mandi tersebut namun hanya berhasil merakam kaki mangsa.

    Kerana tidak berasa berpuas hati, tertuduh mengangkat telefon bimbitnya untuk merakam melalui bingkai jendela di atas pintu bilik mandi tersebut dan berhasil merakam keseluruhannya.

    Pada 4 Oktober, tertuduh datang ke rumah tersebut lagi dan berpura-pura untuk membantu rakannya membersihkan bilik tidurnya. Setelah membantu rakannya, tertuduh kemudiannya berehat.

    Kira-kira pukul 10 malam, adik-beradik perempuan rakannya itu bersama rakan mereka tiba di rumah tersebut setelah menghadiri sebuah acara.

    Rakan dua beradik berkenaan kemudiannya pergi ke bilik mandi untuk membersihkan diri di mana tertuduh turut menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam mangsa menerusi celah bawah pintu bilik mandi dan berhasil merakam dua video manakala satu video lagi dari bingkai jendela atas pintu bilik mandi tersebut.

    Mangsa yang kemudiannya menyedari akan bayangan tangan memegang telefon bimbit dari bingkai jendela tersebut dan terus berteriak dengan bertanya siapa yang berbuat demikian yang menyebabkan tertuduh bergegas lari meninggalkan bilik mandi menuju ke bilik tidur rakannya.

    Merasa terkejut dan marah, mangsa kemudiannya memakai pakaiannya dan keluar dari bilik mandi untuk bertanya siapakah yang mengintipnya melalui bilik mandi tersebut.

    Rakan tertuduh kemudian bersemuka dengan tertuduh dan meminta telefon bimbitnya.

    Tertuduh kemudiannya menyerahkan telefon bimbitnya kepada rakannya itu yang terlihat video adik beradik perempuannya.

    Mangsa yang merasa marah pergi membuat laporan polis bersama ahli keluarganya yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada tengah malam tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda