Padah menipu

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Seorang lelaki yang berdepan pertuduhan menipu dan secara tidak jujur menyalahgunakan wang dihukum dua tahun empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof memutuskan hukuman itu terhadap Muhammad Luqmanul Mustaqim Fakhri bin Azlan, 23, yang mengaku bersalah menipu seorang lelaki untuk menyerahkan wang $900 bagi pembelian sebuah kereta dengan memperdayanya untuk mempercayai yang dia adalah pemilik kereta itu.

Mangsa menerima kunci kereta dari ‘lelaki’ yang didakwa adalah abang ipar tertuduh.

Mangsa kemudian meminta dokumen kereta namun tertuduh memberikan berbagai alasan.

Siasatan mendapati kereta itu adalah milik syarikat sewa kereta.

Tertuduh dalam kejadian lain turut menipu seorang lagi lelaki untuk menyerahkan wang $3,000 untuk sebuah motosikal dengan memperdayanya yang dia adalah pemilik motosikal itu.

Tertuduh juga menipu seorang wanita untuk mempercayainya yang dia berminat untuk membeli sebuah motosikal pada harga $6,500 secara bayaran ansuran dan sebuah lagi motosikal pada $1,000 tunai atau $1,500 secara ansuran.

Tertuduh hanya memasukkan wang sebanyak $50 ke dalam akaun mangsa dan berjanji untuk membayar bakinya selepas menerima gaji tetapi tidak berbuat demikian.

Dia juga menipu seorang lagi lelaki untuk menyerahkan wang $2,000 untuk sebuah kereta.

Selepas beberapa hari, mangsa cuba menghubungi tertuduh untuk mendapatkan kembali wangnya selepas mendapati kereta itu mempunyai tunggakan berjumlah $1,970.

Tertuduh juga didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang $2,200 dan $800 milik dua mangsa berbeza berhubung dengan kes tipu melibatkan sebuah kereta.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara November dan Julai 2018 dan April, Mei dan Jun 2019. Kesemua mangsa membuat laporan polis sebaik menyedari mereka ditipu oleh tertuduh.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali.