Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Dua warga tempatan yang bertindak sebagai penjamin kepada seorang lelaki warga Indonesia diperintahkan oleh Mahkamah Majistret untuk membayar ikat jamin $6,500 setiap seorang.
Lelaki yang dijamin, Masruri didakwa di mahkamah pada 30 Januari 2013 atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Kastam 2006 kerana memiliki pelbagai jenis rokok seludup.
Masruri dilepaskan dengan ikat jamin $13,000 atau dua orang penjamin tempatan selepas mengaku tidak bersalah bagi satu pertuduhan tersebut.
Waran tangkap dikeluarkan kepada Masruri selepas dia gagal untuk menghadirkan diri ke mahkamah pada 13 Februari 2013.
Dua penjaminnya dipanggil oleh mahkamah pada 18 April 2017 untuk menerangkan kenapa tertuduh gagal hadir untuk perbicaraan.
Kedua-dua penjamin memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak tahu di mana keberadaan tertuduh dan maklumat yang diperolehi daripada orang yang mengenali tertuduh telah mengatakan dia sudah pulang ke negara asalnya.
Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menekankan bahawa tugas penjamin adalah untuk memastikan tertuduh mesti menghadirkan diri dalam setiap prosiding mahkamah sebaik persetujuan dibuat untuk menjadi seorang penjamin.
Jika kedua-dua penjamin tersebut gagal untuk membayar jumlah ikat jamin, mereka diperintahkan untuk menjalani penjara selama dua bulan.
Pendakwaan bagi kes Perintah Kastam itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ratno Eddy Sophian bin Haji Zaidi.