Padah miliki alat vape seludup, didenda $30,000

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang mengaku bersalah kerana memiliki peralatan vape, jus dan aksesorinya yang diseludup masuk ke negara ini telah diperintahkan untuk membayar denda berjumlah $30,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Zairulnizam Brahim akan terpaksa menjalani hukuman penjara selama 14 bulan jika gagal membayar denda tersebut. Pegawai Pendakwa Kastam Haji Mohamad Junaidi bin Haji Ahmad mendedahkan di mahkamah bahawa tertuduh didapati memiliki barang-barang yang diseludup tersebut di rumah yang terletak di Jalan Sungai Cerana, Perumahan Panchor Mengkubau pada pukul 1:38 petang, 16 Disember 2020 oleh para pegawai pencegahan kastam.

Majistret Kanan Azrimah binti Abdul Rahman juga memerintahkan agar sejumlah 137 barangan yang dirampas tersebut untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.