Padah miliki rokok seludup

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Seorang lelaki warga Indonesia yang memiliki 12 karton dan 27 paket rokok seludup terpaksa menjalani hukuman 13 bulan penjara bermula hari ini, selepas gagal membayar denda $13,100 yang dijatuhi Mahkamah Majistret.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof terhadap Arbangin berusia 50 tahun yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

Defendan didakwa memiliki rokok-rokok tanpa cukai itu dalam bilik sewa di Bangunan Haji Tahir, Gadong kira-kira jam 1:28 petang pada 15 April 2019.

Terdahulu, defendan merayu supaya hukuman diringankan dan memohon untuk membayar secara ansuran.

Majistret Pengiran Hazirah membenarkan defendan untuk membayar ansuran $500 setiap bulan sehingga selesai namun defendan kemudian menyuarakan tidak dapat membayar jumlah ansuran itu.