Padah pecah amanah dipenjara lapan bulan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Seorang wanita warganegara Malaysia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dakwaan pecah amanah.

Rosty Anak Ragai @ Wahdini Abdullah, 46, didakwa di bawah Seksyen 406 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 serta Seksyen 9 (4) Akta Imigresen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei, defendan yang merupakan seorang pengurus salah sebuah cawangan kedai telah menggunakan wang hasil jualan kedai berjumlah sekitar $4,000. Perbuatannya terbongkar apabila pemilik kedai menerima surat penyataan daripada pihak bank memaklumkan mengenai hasil jualan salah satu cawangan kedai miliknya tidak dimasukkan ke dalam akaun bank sejak Julai hingga bulan September 2019.

Berikutan itu, pemilik kedai segera membuat laporan di Balai Polis Berakas yang membawa kepada penahanan defendan.