Padah rakam wanita dalam tandas

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang lelaki penduduk tetap yang merakam seorang wanita dalam tandas.

Sofriy bin Jefrey, 41, terdahulu menafikan pertuduhan kerana mencabul kehormatan wanita berusia 28 tahun itu.

Walau bagaimanapun, sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes itu, dia mengubah pengakuannya dengan mengaku telah menceroboh privasi wanita itu.

Majistret Kanan Kamaliah Fadhilah Haji Ibrahim mendengar daripada Pendakwa Raya Atiyyah Abas bahawa mangsa yang bekerja di salah sebuah kedai di Kompleks Mohammad Yusof, Jalan Laksmana Abdul Razak, pergi ke tandas wanita di tingkat dua pada petang 22 Jun lalu.

Tertuduh yang berada di kawasan tersebut mengikutinya ke dalam tandas dan meletakkan telefon bimbitnya di bahagian bawah bilik tandas untuk merakam mangsa menggunakan tandas berkenaan.

Mangsa menjerit apabila menyedari telefon itu menyebabkan tertuduh berlari keluar dari tandas. Mangsa segera menenangkan dirinya, keluar dari tandas dan melihat sekeliling.

Mangsa perasan tertuduh bermain-main dengan telefonnya, berpura-pura tidak bersalah.

Bagaimanapun, mangsa menyedari telefon tertuduh adalah telefon yang sama yang dilihatnya di dalam tandas.

Dia berhadapan dengan tertuduh yang menafikan sama sekali telah masuk ke dalam tandas wanita.

Mangsa membawa tertuduh untuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan terjumpa satu rakaman yang menunjukkan tertuduh memasuki tandas pada waktu itu.

Mangsa melaporkan kejadian itu kepada bapanya yang seterusnya membuat laporan polis di mana anggota polis tiba tidak lama kemudian dan menahan tertuduh.