Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Seorang lelaki yang berdepan pertuduhan menyalahgunakan cek dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.
Samdi bin Haji Kassim, 29, mengaku bersalah atas tuduhan itu di hadapan Pemangku Ketua Majistret, Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar.
Tertuduh didakwa menyalahgunkan cek berjumlah $270 yang ditemuinya tercicir di kawasan Soon Lee Megamart, Kampung Mentiri pada 5 Mei 2018. Dia mengambil cek itu dan pulang ke rumah.
Tertuduh kemudian membawa isterinya ke sebuah bank di Kiulap dan menyuruhnya untuk mengeluarkan wang daripada cek itu.
Sebaik wang berjaya dikeluarkan isterinya, tertuduh menggunakan kesemua wang itu untuk perbelanjaannya.
Kehilangan cek milik Koperasi Jabatan Penjara hanya disedari pembawanya sebaik tiba di rumah.
Pembawa cek itu kemudian pergi ke bank dan dimaklumkan yang cek itu telahpun dikeluarkan oleh seorang wanita. Siasatan polis mendapati wanita tersebut ialah isteri tertuduh.
Pendakwaan ke atas tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Qhairul Azim bin Nayan.