Oleh Rafidah Jumat & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Seorang lelaki yang berdepan tuduhan menghalang tugas penjawat awam dan membuat fitnah di laman sosial dijatuhi tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mohammad Helmi bin Awang Ali, 25, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid atas pertuduhan menghalang seorang penjawat awam Biro Kawalan Narkotik (BKN) pada 7 Oktober 2018 kira-kira jam 7:18 pagi daripada menjalankan tugas.
Tertuduh yang tidak bekerja juga mengaku salah memfitnah BKN dengan menerbitkan tuduhan palsu di laman sosial Facebook pada 8 Oktober 2018 antara jam 8 hingga 9 pagi.
Kejadian bermula apabila pegawai BKN pergi ke kediaman tertuduh di RPN Panaga, Seria untuk mencari bapa tertuduh yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan gagal menghadirkan diri ke mahkamah.
Selepas mengetuk selama 10 minit, pintu dibuka oleh tertuduh dan pegawai BKN memperkenalkan diri mereka.

Pegawai BKN kemudian menanyakan mengenai bapa tertuduh, dia kemudian memberitahu yang bapanya sudah lama menghilang.
Untuk memastikan apa yang dikatakan tertuduh adalah benar, pegawai BKN memasuki rumah itu untuk membuat pemeriksaan.
Ketika memasuki salah sebuah bilik rumah itu, pegawai BKN mendapati bapa tertuduh bersembunyi di sudut bilik.
Pegawai BKN memberkas bapa tertuduh dan ketika hendak menggarinya, tertuduh terus meluru ke arah mereka namun dihalang oleh pegawai BKN.
Keesokan harinya, tertuduh memuat naik komen palsu di Facebook mengenai kejadian itu dengan mengatakan yang dia dicekik dan dipukul di bahagian belakang oleh pegawai BKN.
Pada hari yang sama, pegawai BKN telah menerima komen tular itu melalui aplikasi WhatsApp.
Memandangkan komen itu berbaur fitnah, pegawai BKN telah membuat laporan polis. Tertuduh mengaku membuat komen palsu itu di laman sosial kerana marah.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.