Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Mahkamah Majistret kelmarin telah memerintahkan tiga orang lelaki warga Indonesia membayar denda berjumlah kira-kira $250,000 kerana menyimpan rokok seludup di kediaman mereka.
Saiful Bahri, 31, diperintahkan untuk membayar denda $126,000, atau dipenjara 20 bulan jika gagal membayar selepas dia mengaku bersalah memiliki 158 karton dan 19 paket rokok seludup.
Masuddin yang berusia 36 tahun pula telah diperintahkan untuk membayar denda $40,400 atau menjalani hukuman penjara 14 bulan jika gagal membayar denda tersebut berikutan pengakuan bersalahnya kerana menyimpan 50 karton dan 18 peket rokok seludup, bersama-sama dengan wang tunai $3,000 hasil daripada penjualan barangan seludup berkenaan.
Sementara itu, mahkamah memerintahkan Riman, 38, membayar denda $8,760 atau menjalani hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar. Dia mengaku bersalah kerana menyimpan 11 karton dan dua peket rokok seludup.
Pendakwa raya kastam memberitahu mahkamah bahawa pegawai kastam telah memeriksa sebuah kuarters pekerja di Lambak Kanan dan mula-mula menemui barangan seludup dan wang tunai dari lokasi Masuddin pada pukul 5 petang 25 Disember 2021.
Ini disusuli dengan tangkapan Riman pada pukul 10:30 malam.
Pada tengah malam hari berikutnya, mereka menemui barang seludup dari lokasi Saiful Bahri.
Majistret Nur Eleana DSP Haji Hairol Arni mengarahkan supaya rokok-rokok yang dirampas itu dimusnahkan.