Padah tak serik ceroboh premis niaga

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Seorang penduduk tetap berusia 28 tahun dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga bulan oleh Mahkamah Perantaraan, di sini, hari ini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh.

Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni, selain mempertimbangkan perkara lain, menjatuhkan hukuman penjara kerana tidak menemukan alasan yang luar biasa untuk tidak mempertimbangkan keputusan menjatuhkan hukuman itu namun dikurangkan disebabkan faktor-faktor mitigasi dan pengakuan segera.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus Mohammad mendedahkan bahawa tertuduh telah memasuki premis perniagaan di Kawasan Perindustrian Serasa Kampung Serasa selepas tengah malam pada 9 Januari 2021.

Tertuduh menggunakan papan untuk memanjat dan memasukkan kepalanya melalui jaringan logam untuk menceroboh masuk premis berkenaan. Dia kemudiannya mencari-cari dan mengambil $300 yang ditemuinya dalam kotak pensel.

Kemudian pada 19 Januari, tertuduh kembali ke premis yang sama dan masuk de-ngan cara yang sama dan membawa lari wang $55.

Pada 27 Januari, dia sekali lagi mengulangi kesalahan, tetapi kali ini menyedari ka-mera CCTV apabila dia turun ke tingkat bawah.

Tertuduh menggerakkan kamera ke arah lain dengan menggunakan batang yang ditemuinya berdekatan. Namun, kali ini dia tidak menjumpai wang tunai dan keluar dengan tangan kosong.

Pada pagi itu, seorang petugas melihat kamera CCTV dan menemui rakaman yang menunjukkan perbuatan tertuduh.

Petugas tersebut kemudiannya melaporkan kepada pengurusnya, yang kemudiannya membuat laporan polis dan menyebabkan tertuduh ditangkap dengan bantuan rakaman daripada kamera CCTV tersebut.