Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Dua orang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan tinggal melebihi tempoh di negara ini.
Sukma Wijaya, 48, dijatuhi lima bulan penjara dan tiga sebatan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid.
Defendan mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal selama 1,010 hari di Brunei selepas pas melawat yang diberikan kepadanya mansuh pada 20 Disember 2014.
Dia diberkas sepasukan penguat kuasa imigresen ketika membuat kerja pemasangan paip di sebuah rumah di Kampung Lambak, pada 25 September 2017.
Defendan yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dibawa untuk siasatan, yang mana sistem pangkalan data imigresen menunjukkan defendan kali terakhir memasuki negara ini melalui Pos Kawalan Kuala Lurah pada 6 Disember 2014 dan diberikan pas melawat yang sah sehingga 20 Disember 2014 sahaja.
Sementara itu, Surasmi Sukarji, 47, dikenakan penjara enam bulan selepas mengaku bersalah tinggal selama 987 hari di negara ini selepas pas melawatnya mansuh pada 11 Januari 2015.
Defendan diberkas oleh sepasukan penguat kuasa imigresen di sebuah rumah di Kampung Jangsak, pada 25 September 2017 apabila gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Siasatan mendedahkan defendan kali terakhir memasuki negara ini pada 28 Disember 2014 melalui Pos Kawalan Labu, Temburong dan diberikan pas melawat sehingga 11 Januari 2015.
Pegawai Pendakwa Imigresen, Pengiran Norariffin bin Pengiran Haji Hashim memaklumkan mahkamah bahawa rekod imigresen menunjukkan tidak ada lanjutan tempoh dibuat oleh kedua-dua tertuduh selepas pas melawat mereka mansuh.