Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
SUATU ketika dahulu, sekitar tahun 1960an, Padang Besar adalah pusat tumpuan orang ramai terutama bagi masyarakat yang tinggal di kawasan Bandar Brunei ketika menyaksikan hari-hari kebesaran negara dan juga perlawanan bola sepak yang disertai pembesar-pembesar negara.
Sekitar kawasan padang berkenaan akan dipenuhi dengan pengunjung sama ada dari golongan kanak-kanak sehinggalah dewasa. Selain itu, pelbagai acara kenegaraan turut diadakan yang tertumpu di Padang Besar, antaranya ialah Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.
Mereka yang turut serta dalam acara tersebut adalah terdiri daripada pegawai-pegawai keselamatan, pasukan polis, pegawai-pegawai Jabatan Laut dan murid-murid sekolah. Orang ramai pada ketika itu begitu teruja menyaksikan acara yang penuh bersejarah itu.
Manakala pada sebelah malamnya pula, turut diadakan persembahan berunsur hiburan yang juga bertempat di Padang Besar. Antara mereka yang menyerikan majlis persembahan itu ialah para belia, pelajar-pelajar sekolah dari Daerah Brunei dan Muara dan juga artis-artis undangan dari Semenanjung Malaysia. Manakala Jabatan Penerangan pula, akan memasang dan memainkan wayang di tepi padang tersebut. Orang ramai pastinya tidak melepaskan peluang dengan menyaksikan kemudahan yang disediakan sambil bersantai-santai bersama keluarga.
Semua kenangan dan peristiwa ini tidak pernah luput dalam ingatan penulis sehinggalah sekarang. Semuanya masih segar dalam ingatan penulis apabila menatap gambar-gambar lama berwarna hitam putih itu.