Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Padang maut’, keracunan makanan hantui jelajah Asia

    SHANGHAI, 21 Julai – Hong Kong terkenal dengan ‘padang maut’ apabila pertemuan tetangga Manchester di Beijing tahun lepas dibatalkan selepas 11 jam dan kini pemain Arsenal pula keracunan makanan di Shanghai.

    Selepas cuaca panas diburukkan lagi dengan hujan tropika dan penerbangan jarak jauh, mudah untuk melihat mengapa pengurus Arsenal Arsene Wenger (gambar) tertanya-tanya minggu ini sama ada jelajah pra-musim di Asia berbaloi selepas banyak masalah timbul.

    Bukan rahsia lagi jelajah setiap musim panas kelab-kelab terkemuka Eropah menjana wang tetapi kelab seperti Arsenal, Chelsea, Liverpool, AC Milan, Inter Milan dan Bayern Munich bulan ini perlu mengimbangi padahnya dengan pemain mengharungi masa kritikal dalam persediaan untuk musim ini.

    Pemain Arsenal gugup di tempat duduk ketika Wenger ditanya Rabu lalu apakah ini benar-benar apa yang diperlukan pasukan menjelang permulaan satu lagi kempen Liga Perdana yang sukar bermula 12 Ogos ini.

    “Satu soalan yang bagus tetapi jika anda bertanya kepada saya, adakah ideal untuk bersiap-sedia secara fizikal? Saya tidak pasti,” katanya sambil tersenyum.

    FILES-FBL-ASIA-CHN-TOURS

    “Adakah ia mempunyai kelebihan lain? Ya, kerana kami boleh bertemu peminat di seluruh dunia. Jadi amat positif dan ikatan pasukan lebih mudah juga kerana kami hidup bersama selama dua minggu.”

    Kepanasan 38 darjah Celsius di Shanghai merupakan satu ‘kejutan’ selepas Australia, tambah Wenger selepas pasukannya yang letih terikat 1-1 dengan Bayern tetapi kemudian memenangi penentuan penalti.

    Ranjau perjalanan tidak berakhir di sana untuk Gunners yang bermula dengan dua aksi persahabatan di Australia dan akan bertemu Chelsea di Beijing Sabtu ini dalam satu lagi permainan pertunjukan.

    Di Hong Kong, di mana Liverpool, West Bromwich Albion, Leicester City dan Crystal Palace terlibat dalam kejohanan Liga Perdana Piala Asia, jurulatih Reds Jurgen Klopp berusaha keras untuk menyembunyikan kekecewaannya.

    Seperti kebanyakan Asia, Hong Kong sering dilanda hujan lebat tahun ini ditambah pula dengan kelembapan yang boleh mencecah 100 peratus. Belum lagi dikira pencemaran yang kerap menyelubungi China dan Hong Kong.

    Klopp, yang terpaksa melupakan satu sesi latihan di Hong Kong kerana cuaca tidak mengizinkan, amat khuatir dengan padang di Stadium yang berkapasiti 40,000 tempat duduk.

    Pada kejohanan Liga Perdana Asia di Hong Kong 2013, pengurus Sunderland ketika itu Paolo Di Canio menggelar stadium Hong Kong sebagai ‘padang maut’.

    Pengurus terdahulu Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas mengancam untuk menarik diri kerana bimbang selepas pertahanannya Jan Vertonghen cedera pergelangan kaki sehingga kecergasannya untuk memulakan musim baru diragui.

    Tahun lalu pengurus Manchester United Jose Mourinho berang dengan permukaan padang Sarang Burung di Beijing yang ‘amat buruk’ sehingga pertemuan tetangga Manchester dibatalkan sebelum sepak mula. Beliau berkata matlamatnya adalah untuk pulang sihat dan cergas bersama skuadnya.

    Seperti Wenger dan Mourinho, Klopp menghargai aspek komersil pelancongan, di mana peminat tempatan tampil dengan baju replika berkemah di luar hotel menunggu untuk melihat kelibat wira mereka tetapi beliau tahu dia akan dinilai oleh keputusan bola sepak, bukan kunci kira-kira.

    “Apa yang boleh saya katakan? Saya seorang pengurus bola sepak. Saya berminat dengan permainan ini. Saya berminat dengan kualiti permainan dan perkara berbeza mempengaruhi kualiti,” katanya kepada pemberita di Hong Kong sambil menyuarakan kebimbangan mengenai padang di sana.

    Ketua Eksekutif Liga Perdana Richard Scudamore pula berharap cuaca baik untuk pusingan terakhir Piala Asia Sabtu ini tetapi yakin padang akan membawa cerita berbeza jika hujan dan ribut petir melanda. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda