Paderi Kanada dipenjara ingkar larangan virus

YANGON, 6 OGOS – Seorang paderi Kanada yang mendakwa orang Kristian selamat daripada koronavirus, hari ini dihukum penjara tiga bulan di Myanmar selepas dia dan berpuluh-puluh pengikutnya dijangkiti virus selepas mengadakan perhimpunan dilarang.

Negara Asia Tenggara itu setakat ini mencatatkan hanya 357 kes disahkan dan enam kematian, meskipun ujian saringan rendah membuatkan ramai yang bimbang, bahawa jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi. David Lah, 43, berpangkalan di Toronto, dilahirkan di Myanmar dan sering pulang ke tanah airnya untuk berdakwah.

Negara itu melaksanakan larangan perkumpulan dalam pertengahan Mac, namun rakaman menunjukkan Lah mengadakan perhimpunan dakwah pada awal April di Yangon.

Lah diuji positif koronavirus sejurus selepas itu dan berpuluh kes lain disahkan dikesan daripada pengikutnya.

Mubaligh itu diberkas sejurus selepas pulih daripada sakit dalam Mei dan berhadapan sehingga tiga tahun penjara. Namun Mahkamah Yangon hari ini mengurangkan hukumannya kepada tiga bulan. – AFP

Paderi David Lah bercakap dengan pemberita di luar mahkamah Yangon selepas dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan kerana mengingkari larangan perhimpunan di Myanmar. – AFP