Padi musim pertama mula dituai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Projek LiveWIRE AgroBiz menempuh satu mercu tanda bersejarah dalam pelaksanaannya apabila menyaksikan aktiviti mengetam bagi penanaman padi musim pertama projek tersebut yang berlangsung di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Agro-Teknologi, Wasan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran aktiviti mengetam itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman (gambar kiri).

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Pengarah Sumber Manusia Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Hajah Zainab binti Haji MA Omar; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad, pegawai-pegawai kanan dan pegawai dari Kementerian Pendidikan dan BSP, Jawatankuasa Pandu Projek LiveWIRE AgroBiz serta para jemputan khas.

Pengerusi LiveWIRE Brunei, Hajah Rosita binti Haji Hassan dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa Projek LiveWIRE AgroBiz termeterai pada 24 Januari 2019 dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara IBTE dan LiveWIRE Brunei bagi memajukan tanah seluas 10 hektar sebagai tapak latihan untuk peladang muda dari institut berkenaan.

“Ini adalah sebahagian daripada persediaan untuk mereka menjadi peladang dan pengusaha yang berjaya setelah tamat menjalani program ini,” jelasnya.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan meninjau sawah padi yang dituai bagi Projek LiveWIRE AgroBiz.
Dr Haji Azman mengambil bahagian dalam aktiviti mengetam padi.

Beliau menyatakan bahawa dalam tempoh setahun, berkat usaha gigih pihak yang berkenaan, ia telah membuahkan hasil dengan kejayaan projek berkenaan menerusi aktiviti mengetam padi.

“Dengan penghasilan beras negara dalam anggaran 5 peratus, adalah besar harapan Projek LiveWIRE AgroBiz untuk menyokong dan merealisasikan usaha negara menaikkan kadar penghasilan ke tahap yang lebih tinggi dan pada masa yang sama menggunakan teknologi hijau,” tambahnya.

Beliau menjelaskan bahawa bagi menyelesaikan masalah air, sistem pengairan menggunakan kaedah pengumpulan air hujan dari bumbung kampus IBTE dan letak kereta dialirkan ke takungan air bagi memastikan air yang mencukupi untuk kawasan ladang.

Beliau menerangkan bahawa sistem pengairan itu dihubungkan dengan sungai yang berdekatan bagi menangani masalah banjir pada musim tengkujuh.

Sementara itu, penggunaan dron bagi penyemburan baja, jelasnya, didapati sangat berkesan kerana semburannya yang konsisten dan penjimatan masa yang sangat ketara di mana bagi 1 hektar ladang padi, ia hanya mengambil masa kira-kira 10 minit.

Selain daripada itu, penggunaan baja organik dan bahan semula jadi bagi menangani isu serangga perosak telah didapati lebih berkesan dari baja dan racun perosak yang berasaskan kimia.

“Baja dan racun perosak dari bahan-bahan semula jadi tempatan ini dibuat sendiri oleh penuntut IBTE di Bengkel Pembuatan Baja Organik AgroBiz, menjadikannya salah satu produk yang berpotensi untuk diusahakan secara komersial,” jelas Hajah Rosita lagi.

Menyentuh mengenai perancangan untuk meningkatkan lagi kualiti latihan serta memberikan pengalaman yang terbaik bagi para peserta projek, beliau berkata, pihaknya sedang membuat perancangan bagi lawatan ke ladang pusat penyelidikan tanaman padi di luar negara untuk menambah ilmu pengetahuan dan berkongsi amalan penanaman serta pengurusan yang terbaik daripada pengusaha yang berpengalaman.

Bagi memajukan lagi usaha tanaman padi, pihak LiveWIRE Brunei mempelawa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) untuk bekerjasama dengan Projek LiveWIRE AgroBiz membuat penyelidikan bagi meningkatkan lagi mutu penghasilan.

Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyempurnakan perasmian aktiviti mengetam padi musim pertama dan diberikan penerangan mengenai kegiatan penanaman padi oleh para pelajar yang menyertai program berkenaan.

BSP menerusi bahagian keusahawanan dan program pelaburan sosial, LiveWIRE Brunei menyokong Skim Usahawan Agro Padi AgroBiz di bawah IBTE yang bermatlamat untuk menyediakan usahawan pertanian muda dengan ilmu pengetahuan teknikal dalam penanaman padi dan membangunkan kemahiran keusahawanan pertanian mereka supaya dapat memulakan perusahaan mereka sendiri.

Projek itu dihasratkan untuk melahirkan kira-kira 100 orang usahawan pertanian muda dalam industri padi di Negara Brunei Darussalam.