PAFA, Felda United sedia patuh empat perkara SOP

KUALA LUMPUR, 12 JUN – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bersedia mematuhi empat perkara penting dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum memulakan sesi latihan, Isnin ini.

Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata pihaknya bercadang untuk mengadakan latihan di Stadium Perak, di Ipoh secara tertutup dengan pemain dipisahkan kepada dua kumpulan dan menjalani sesi latihan berasingan.

Katanya, PAFA tidak menghadapi masalah untuk melantik seorang pegawai penyelaras pematuhan SOP selain kesemua pemain dan pegawai pasukan akan menjalani ujian swab pada Isnin depan sebelum turun berlatih di padang.

“SOP dikeluarkan itu seiring dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MFL telah memberi penerangan dengan lebih jelas.

Bilangan pemain dibenarkan hanya 10 orang dalam satu sesi selama 45 minit.

“Cadangannya adalah pasukan mengadakan dua sesi latihan dalam satu hari secara tertutup. Untuk Perak II kami bercadang latihan diadakan di Kompleks Bola Sepak Perak untuk dua sesi juga,” katanya dalam kenyataan MFL hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Azlin berkata pihaknya belum memuktamadkan mengenai sesi latihan skuad Perak II di Kompleks Bola Sepak Perak memandangkan lokasinya agak terbuka.

Dua perkara utama digariskan MFL sebelum pasukan dibenar memulakan sesi latihan adalah pasukan perlu menyerahkan ujian swab yang disahkan oleh doktor pasukan kepada MFL selain melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan.

Dua perkara lagi ialah pasukan wajib menamakan pusat latihan yang diadakan di kawasan tertutup dan venue latihan perlu didaftarkan melalui pautan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), notification.miti.gov.my. – Bernama