Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – UTB Eco-Drive Team yang akan mewakili Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Negara Brunei Darussalam ke Pertandingan Shell Eco Marathon Asia 2019 telah melancarkan kereta cekap tenaganya, ‘Pahlawan IV’.
Pelancaran kereta berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Lobi Utama UTB, hari ini.
Turut hadir menyaksikan pelancaran berkenaan ialah para perwakilan penaja, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa UTB.
Terlebih dahulu, Doa Selamat dan Surah Al-Fatihah telah dibacakan oleh Ketua Hal Ehwal Ugama UTB, Awang Mohammad Fazalley bin Haji Hidup.
Pahlawan IV merupakan tajaan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Brunei LNG, Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM), Brunei Gas Carrier Sdn Bhd (BGC), Amec Foster Wheeler, Sprintville Technologies, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) CIC Environmental Services, BruGPS Technologies, Swagelok (Bruwell Valve), Danawan Technologies Sdn Bhd, Al-Huffaz Management, Othman & Associates, BMC Food Industries, Tendrill International, Zell Transportation, Indec Enterprise Sdn Bhd, Aisha Automation Company, Lagenda Clothing dan Majlis Perwakilan Pelajar UTB.

Pertandingan yang akan berlangsung pada 29 April hingga 2 Mei depan di Sepang International Circuit, Kuala Lumpur, Malaysia itu dibahagikan kepada kepada dua kategori iaitu Kategori Konsep Urban dan Kategori Konsep Prototaip.
Pada tahun ini pasukan daripada UTB akan menyertai dalam acara Konsep Prototaip yang menggunakan bateri elektrik.
Pertandingan tersebut mengajar para pelajar untuk mereka, menghasilkan dan memandu kereta yang cekap tenaga.