SERINGKALI kita bingung dalam mencari menu yang sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu yang sudah lama tidak berkunjung.
Terdetik di hati mahu menyajikan sesuatu menu istimewa untuk dijadikan hidangan sambil menghirup kopi panas di sebelah petang.
Terdapat beberapa sajian pai yang boleh dikongsi kepada semua bagi menyerikan meja makan dengan hidangan pai yang cukup mudah untuk disediakan.
Selamat mencuba!
Pai Epal
Bahan pastri:
250 gram tepung gandum
200 gram mentega
100 ml air sejuk
1 sudu besar gula
1 sudu teh garam
1 biji telur
Bahan inti:
3 biji epal hijau dikupas kulit dan dipotong dadu.
200 gram gula pasir
100 gram mentega
Cara membuat:
pastri:
Campurkan kesemua bahan pastri kecuali air. Gaul rata semua bahan dan kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga menjadi doh. Simpan dalam peti sejuk selama setengah jam sebelum dicanai untuk dijadikan kulit pai.
Inti pai:
Cairkan gula di atas kuali sehingga berwarna keperang-perangan. Kecilkan api, masukkan epal dan kacau. Tutup api dan masukkan mentega, kemudian sejukkan seketika. Letakkan inti di atas doh kulit pai yang telah dicanai dalam bentuk empat segi. Kemudian lipat dua dan tekan hujung kulit pai dengan garfu. Sapukan kuning telur di atasnya dan bakar selama 20 minit dengan suhu kepanasan 180 C.
Pai Kari Kentang
Bahan pastri:
250 gram tepung gandum
200 gram mentega
100ml air sejuk
1 sudu besar gula
1 sudu teh garam
1 biji telur
Bahan inti:
3 biji kentang yang dipotong dadu
2 sudu besar rempah kari
1 ulas bawang putih yang dicincang
½ biji bawang besar yang dicincang
1 tangkai daun kari yang dicincang
2 sudu besar minyak masak
Air secukupnya
Garam dan gula secukupnya
Cara membuat :
Pastri:
Campurkan kesemua bahan pastri kecuali air. Gaul rata semua bahan kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga menjadi doh. Simpan dalam peti sejuk selama ½ jam sebelum dicanai untuk dijadikan kulit pai.
Inti pai:
Panaskan minyak, tumiskan bawang putih serta daun kari. Masukkan kari bersama sedikit air, kacau rata dan masukkan kentang. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan biarkan hingga kentang empuk dan kering. Sejukkan seketika, kemudian letakkan di atas doh yang telah dicanai dalam bentuk bulat. Lapiskan dengan sekeping doh sama saiz dan kemaskan tepinya dengan garfu. Sapukan kuning telur di atasnya dan bakar selama 25 minit dengan kepanasan 180 C.
Pai Kastard Buah
Bahan pastri:
250 gram tepung gandum
200 gram mentega
100 ml air sejuk
1 sudu besar gula
1 sudu teh garam
1 biji telur
Bahan inti:
100 gram tepung kastard
150 ml susu cair
100 ml air sejuk
50 gram gula
Buah-buahan seperti anggur dan kiwi sebagai hiasan
Cara membuat:
pastri:
Campurkan kesemua bahan pastri kecuali air. Gaul rata kesemua bahan kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga menjadi doh. Simpan dalam peti sejuk selama ½ jam sebelum dicanai untuk dijadikan kulit pai. Bentuk kulit pai dengan acuan yang sesuai dan bakar hingga berwarna kekuningan.
Inti pai:
Campurkan kesemua bahan kecuali hirisan buah-buahan. Panaskan dalam kuali dan kacau rata sehingga adunan kastard menjadi kental. Masukkan kastard ke dalam beg piping kemudian paipkan di dalam kulit pai yang telah siap dibakar. Hiaskan dengan buah-buahan. Sejukkan dalam peti sejuk seketika sebelum dihidangkan.