Pak Hamid seronok layan 32 cucu, 14 cicit

Bersahaja dan kadang-kala lurus bendul, karakter dibawa bintang komedi era 1980an ini setiap kali beraksi, terus menarik perhatian ramai.

Tidak hairanlah, kemunculan Hamid Gurkha dengan beberapa pelawak lain seperti A R Badul dan Allahyarham Datuk Yahya Sulong dalam filem mahupun persembahan pentas, dinanti-nantikan peminat.

Pembabitan Hamid yang sudah menjangkau usia 88 tahun, mewarnai dunia senimatik Melayu, terutama pada era kebangkitan filem genre komedi.

Masih sihat dan menetap di Klang, Selangor, pelakon dan pelawak ini mengaku pada usia sekarang, masa yang ada hanyalah untuk isteri, Timah Abdul Hamid dan keluarga.

Hamid berkata, dia tidak berniat untuk kembali beraksi, biarpun sekadar membuat penampilan atas faktor usia.

Hamid ketika menerima sumbangan barangan keperluan daripada YKAT, baru-baru ini. – Agensi

Bagi Hamid atau nama penuhnya, Abdul Hamid Abdul Rahman, masanya sudah tiba untuk dirinya berehat di rumah.

“Saya tidak rindu dan tiada rasa hendak berlakon sekarang. Saya sudah tua, jadi malas untuk kembali beraksi.

“Lagipun saya sudah penat… Biarlah orang yang muda-muda berlakon.

“Sekarang ini, pengarah ramai yang muda-muda dan permintaan mereka berbeza, jadi agak leceh.

“Tawaran berlakon pun tiada. Kali terakhir, saya ingat, ada produksi Hantu Kak Limah yang memberi tawaran tapi saya tidak pergi sebab penggambarannya jauh di Kuala Kangsar, Perak.

“Anak saya tidak benarkan saya memandu kereta jauh-jauh. Saya hanya boleh memandu berdekatan saja seperti mahu pergi ke kedai, surau atau masjid.

“Mereka lebih suka saya duduk di rumah bermain bersama cucu dan cicit,” katanya

Memiliki 32 cucu dan 14 cicit, Hamid bahagia melayan kerenah mereka di rumah.

“Tapi yang duduk bersama saya sekarang, hanya antara empat hingga lima cucu.

“Saya ada lapan anak tapi dua anak saya sudah meninggal dunia. Apa yang tinggal adalah enam orang, dua lelaki dan empat perempuan.” – Agensi