Pak Lah sihat walafiat 

KUALA LUMPUR, 15 NOV – Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini memaklumkan bekas perdana menteri itu berada dalam keadaan sihat walafiat di samping keluarga.

Justeru, Pejabat Tun Abdullah menerusi satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya hantaran tular menerusi Facebook milik ‘Mohd Hasni Izuwan’ dan ‘Saifulzaman Mahmood’ berhubung kesihatan perdana menteri kelima itu yang lebih mesra dipanggil Pak Lah.

Menerusi tangkap layar yang turut dikongsikan, kedua-dua pemilik Facebook
itu memuat naik status menyatakan bahawa perdana menteri kelima itu telah kembali ke rahmatullah.

“Pihak pejabat memandang serius penularan berita palsu ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini. 

Sementara itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata selain Tun Abdullah, isteri beliau Tun Jeanne Abdullah juga berada dalam keadaan sihat walafiat. – Bernama