Pak Teh amalkan zikir untuk kekal sihat

Oleh Norizan Murshid

Apabila seseorang yang telah melewati usia tujuh puluh tahun ke atas adalah usia yang dianggap sudah terlalu tua untuk terus aktif berjalan, memandu kereta dan menaiki kapal terbang.

Namun, bagi Ustaz Tuan Haji Syuib bin Haji Salleh, 75 atau lebih mesra dengan panggilan Pak Teh semua perkara yang disebutkan tadi tidak menjadi masalah bagi beliau yang merupakan bekas seorang guru ugama yang pernah berkhidmat dengan kerajaan.

Ketika ditanya penulis tentang rahsia beliau kelihatan sihat dan cergas, Pak Teh menyatakan “sejak diusia remaja lagi, ketika masih menuntut di Mahad Tahfiz di Kedah, saya sudah biasa mengamalkan berzikir dan pada kebiasaannya saya akan tidur awal selepas waktu Isyak dan akan bangun pada jam 2 pagi untuk Solat Tahajud dan selepas itu berzikir 1,000 kali hinggalah menjelang masuk waktu Subuh.”

Bila difikirkan mungkin agak sukar untuk melakukan seperti mana yang dilakukan oleh Pak Teh kerana pada jam 9 atau 10 malam orang ramai masih lagi sibuk dengan urusan harian seperti duduk santai menonton televisyen bersama keluarga atau pun menikmati makan malam.

“Ya, saya akui ianya memang sukar untuk dilakukan tetapi bila sesuatu perkara itu kita lakukan dengan penuh kerelaan dan keikhlasan hati, percayalah kita akan merasakan kenikmatan dan keberkatan dalam beribadat,” jelas Pak Teh.

Dari segi pengambilan permakanan harian Pak Teh, beliau mengamalkan memakan kurma setiap hari dan banyak minum air kosong. Pak Teh memastikan tidak terlalu banyak pengambilan nasi dan beliau lebih gemar memakan buah-buahan.

Sungguhpun sudah bersara tetapi jiwa pendidik tidak pernah pudar dari kehidupan harian beliau. Sehingga kini, Pak Teh masih mengajar anak-anak mengaji mukadam dan Al-Quran, sebagaimana Pak Teh pernah diundang oleh Radio Televisyen Brunei menerusi program Mari Belajar Mengaji.

Ustaz Tuan Haji Syuib bin Haji Salleh atau lebih mesra dengan panggilan Pak Teh. – Gambar serahan penulis