Pakai baju 2.5kg elak caj tambahan

MANILA, 18 OKT – Apabila diberitahu beg yang dibawa melebihi had berat, seorang penumpang dari bandar Davao, Filipina membuat keputusan untuk memakai sebanyak mungkin pakaiannya daripada beg tersebut.

Wanita Filipina, Gel Rodriguez yang enggan membayar bayaran tambahan bagi bagasi melebihi berat, mula memakai sehelai demi sehelai baju dan seluarnya sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Usahanya berhasil kerana kesemua baju yang dipakai mengurangkan berat beg sehingga 2.5 kilogram.

Menurut laporan Daily Mail, Rodriguez turut memuat naik gambarnya yang memakai sekurang-kurangnya tiga pasang seluar panjang dan pendek, lima t-shirt dan tiga jaket di laman sosial Facebooknya.

Gambar tersebut tular dan mendapat lebih 20,000 perkongsian serta 32,000 reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

“Apabila kakitangan syarikat penerbangan memberitahu hanya 7kg dibenarkan dibawa naik ke dalam pesawat.

“Saya: Tiada masalah. Bagasi daripada 9kg kepada 6.5 kg,” tulisnya berserta hashtag #CabaranBagasiBerlebihanBeratDiterima.

Ditanya sama ada dia akan melakukannya lagi, dia menjawab, “Mungkin tidak, ia sangat panas. Saya juga tidak syorkan orang lain buat begitu,” tambahnya. – AP

Gambar tular Rodriguez yang memakai pakaian 2.5kg untuk mengelak caj tambahan. –AP