Pakai mask dengan betul

PUTRAJAYA, 21 JULAI – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengulangi gesaan supaya orang ramai memakai pelitup separuh muka atau ‘facemask’ dengan cara yang betul.

Beliau berkata pemakaian alat pelitup separuh muka merupakan satu kaedah pencegahan yang penting bagi mengelak penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19.

“Ia boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti, atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain,” tegasnya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Facemask perlu menutupi ruang hidung sehingga dagu manakala pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ia tergantung di leher, di dahi, atau menutupi hanya sebahagian daripada hidung dan mulut, adalah tidak bertepatan dan sebaliknya membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan semalam berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam susulan ancaman COVID-19 masih belum berakhir, serta perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan kerajaan.

Dr Noor Hisham berkata penggunaan pelitup separuh muka boleh dibahagikan kepada penggunaan bagi tujuan perubatan dan penggunaan bukan perubatan.

Penggunaan pelitup separuh muka bagi tujuan perubatan melibatkan petugas kesihatan yang perlu menggunakan perlindungan, seperti yang disarankan dalam panduan ‘Guidelines on COVID-19 Management in Malaysia’.

Bagi penggunaan pelitup separuh muka untuk tujuan bukan perubatan pula, ia adalah disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat COVID-19 tersebar luas dan jarakan sosial sukar diamalkan, contohnya golongan pekerja dan orang awam sihat yang berada di tempat awam dan persekitaran sesak.

Orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan, golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai latar belakang penyakit-penyakit kronik, terutama di kawasan jangkitan COVID-19 berlaku serta jarakan sosial sukar diamalkan perlu menggunakan pelitup sebaruh muka ‘surgical 3-ply mask’, katanya. – Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media situasi semasa mengenai jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Bernama