Pakai topeng muka jika perlu sahaja

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Penggunaan topeng muka tidak akan memberi jaminan perlindungan daripada dijangkiti COVID-19, namun ia boleh melindungi orang lain jika anda mempunyai penyakit dan penyakit tersebut boleh menjangkiti melalui titisan.

“Kenapa kita menggunakan topeng muka seperti yang diterangkan sebelum ini adalah untuk mengelakkan jangkitan daripada menular, ertinya orang yang demam atau sakit jika mereka mahu berjalan ke luar, mereka mesti menggunakan topeng muka,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan mengenai perspektif beliau tentang beberapa negara yang mewajibkan pemakaian topeng muka bagi warganegara mereka pada sesi soal jawab dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut beliau lagi, beberapa minggu kebelakangan, apa yang dilihat terutama di Brunei, 50 peratus daripada kes COVID-19 tidak ada menunjukkan tanda-tanda jangkitan pada awalnya. Namun, negara tidak mewajibkan keperluan untuk memakai topeng muka.

“Kita lihat negara-negara lain seperti China, mereka mempunyai kapasiti untuk membuat topeng muka.

“Oleh itu, kita perlu memahami jika mahu melaksanakan penggunaan topeng muka dan perlu melihat pada tiga situasi; orang yang memakai, keadaan masyarakat dan ketumpatan (density) penduduk dan frasa ‘community spread’.

Pemakaian topeng muka adalah sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan daripada menular seperti mereka yang demam atau sakit jika mereka mahu berjalan ke luar, mereka perlu memakai topeng muka. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Alhamdulillah, jangkitan komuniti belum ada di negara ini, oleh yang demikian ia tidak diwajibkan untuk menggunakan topeng muka. Sebelum ini, kami tidak menggalakkan untuk menggunakannya kecuali mereka yang demam sahaja.

“Akan tetapi, memandangkan kami ada mengumpul data, kami masih belum menggalakkan namun jika anda mahu menggunakannya, anda boleh menggunakannya,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Menurutnya, di negara lain terutama yang mempunyai ketumpatan penduduk yang tinggi yang ada pengangkutan awam contohnya dalam kereta api bawah tanah, terdapat ramai orang berasak-asak dan kita tidak mengetahui siapa membawa apa, virus yang tidak diketahui, terutamanya di negara-negara yang tidak membuat ujian.

“Dalam senario itu, sudah tentu anda mesti menggunakannya kerana anda tidak tahu siapa yang positif dan tidak. Di negara kita, Alhamdulillah, saya rasa kita tahu siapa yang positif siapa yang tidak,” jelasnya.

“Situasinya berbeza, terdapat ramai orang yang berkata bahawa anda perlu memakai topeng muka, akan tetapi kita perlu melihat konteks sesebuah negara itu serta ketumpatan penduduknya dan kenapa kita melaksanakannya,” tambah Yang Berhormat Dato lagi.

Menurut beliau lagi, bagi Brunei Darussalam, banyak ujian telah dilakukan berbanding dengan negara lain. Oleh itu, kesimpulannya jika orang ramai mahu menggunakannya, mereka boleh menggunakannya akan tetapi ianya bukan dimestikan.

“Jika anda mahu menggunakan topeng muka jenis kain pun boleh dipakai, tetapi ia tidak mempunyai keberkesanan berbanding dengan memakai topeng pembedahan.

“Tetapi seperti yang saya katakan, jika anda demam, anda tidak dibenarkan untuk pergi ke luar,” tambahnya.

Semasa sesi soal jawab itu juga, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan bahawa sejak penularan wabak COVID-19 di negara ini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terutama Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang berkaitan telah pun giat membuat kenyataan media supaya masyarakat pada umumnya akan mengetahui lebih banyak situasi kerajaan dan bagaimana pengawalannya.

“Seperti yang saya terangkan sebelum ini juga, bukan kerajaan sahaja yang patut bekerja keras dalam memberigakan pencegahan virus terbabit kepada masyarakat tetapi ia memerlukan pendekatan ‘Whole of Nation’.

“Jadi penting masyarakat mematuhi segala peraturan yang diutarakan. Walaupun sesebuah negara boleh membuat pengawalan atau peraturan, kalau ia tidak diikuti oleh masyarakat atau mereka tidak memahami kenapa kerajaan berbuat sedemikian, oleh itu kekurangan kefahaman atau pengetahuan itu akan menyukarkan pihak kerajaan,” jelasnya.

Menurut Yang Berhormat Dato, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan yang lain sangat bersyukur kerana dengan membuat siaran media, orang ramai akan lebih faham dan mudah mematuhi segala peraturan yang dijalankan.

Dengan cara sedemikian, ia banyak membantu untuk memerhatikan kadar jangkitan COVID-19 dan ‘flattening curve’ secara lebih baik.