Pakaian guna jenama terkenal dirampas

SANDAKAN, 16 JULAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan (KPDNHEP) Sandakan merampas 125 jersi dan tiga seluar pendek kononnya berjenama Adidas, Nike dan Puma, dalam satu serbuan di sebuah pasar raya di sini pagi semalam.

Ketuanya Mohamad Hashim berkata semua barang tiruan yang dirampas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM13,917 dan pihaknya turut menahan seorang lelaki berumur 53 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019, yang boleh membawa kepada hukuman denda maksimum RM10,000 tiap satu barang, atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

“Sejak 1 Jan lepas pihak kami telah menjalankan 5,991 pemeriksaan di premis perniagaan di sini dan mengeluarkan saman bagi pelbagai kesalahan perdagangan yang berjumlah RM36,400 dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam satu persidangan media di sini hari ini. – Bernama