Pakar Jepun bantu bersihkan tumpahan minyak

NARITA, JEPUN, 19 OGOS – Sekumpulan pakar baharu berlepas dari Jepun ke Mauritius hari ini dengan bahan penyerap minyak khas untuk membantu membersihkan bertan-tan minyak yang bocor dari kapal milik Jepun.

“Minyak bocor dari kapal terkandas telah menyebabkan kerosakan besar kepada penduduk Mauritius, ekonomi yang kebanyakannya bergantung pada pelancongan dan laut,” beritahu pegawai kementerian alam sekitar, Yukihiro Haisa kepada wartawan sebelum berlepas.

Enam anggota sedang berkunjung ke Mauritius dari Jepun, dengan ketua kumpulan menyertai dari New York.

Haisa berkata kerajaan Mauritius telah meminta kumpulan itu menilai impak kebocoran ke atas terumbu karang tempatan.

Kapal milik Jepun, MV Wakashio terkandas di terumbu karang pada 25 Julai dan mulai membocori minyak lebih seminggu kemudian, menumpahkan lebih 1,000 tan dan mengancam taman marin dilindungi yang mempunyai hutan paya dan spesies terancam.

“Kami ingin menggunakan kepakaran teknikal kami untuk membantu membersihkan hutan bakau yang dicemari minyak,” kata Noriaki Sakaguchi, pakar alam sekitar di Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun.

“Apabila rosak, ia akan mengambil masa lama untuk sistem ekologi kembali pulih semula,” katanya. – AFP

Pakar ekosistem dan alam sekitar dari Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) bersedia berlepas ke Mauritius di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Narita kelmarin. – AFP