Pakar PBB gesa moratorium ke atas jualan teknologi pengawasan

GENEVA, 12 OGOS – Pakar-pakar PBB menyeru hari ini bagi moratorium antarabangsa berhubung penjualan teknologi pengawasan sehingga peraturan diimplementasikan bagi melindungi hak asasi kemanusiaan susulan skandal perisian perisikan Israel.

Satu siasatan media antarabangsa melaporkan bulan lalu bahawa beberapa kerajaan menggunakan virus (malware) Pegasus, dicipta oleh firma Israel, Kumpulan NSO, untuk mengintip aktivis, jurnalis dan ahli politik. Pegasus boleh membuka kamera telefon atau mikrofon dan mencuri data.

“Ia adalah sangat berbahaya dan tidak bertanggungjawab bagi membenarkan teknologi pengawasan dan sektor perdagangan untuk beroperasi sebagai sebuah zon bebas hak asasi kemanusiaan,” kata pakar-pakar hak asasi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan. Kenyataan itu ditandatangani oleh tiga pelapor khas berkaitan hak asasi dan sebuah kumpulan kerja berhubung isu hak asasi kemanusiaan dan pertubuhan transnasional serta perniagaan lain.

“Kami menggesa komuniti antarabangsa untuk membangunkan rangka kerja pengawal atur kukuh untuk mencegah, mengurangkan dan membetulkan impak negatif hak asasi kemanusiaan ke atas pengawasan teknologi dan di samping, mengadaptasi moratorium ke atas penjualan dan pemindahannya,” kata mereka.

Pakar menggesa Israel untuk ‘mendedahkan sepenuhnya apa langkah diambilnya untuk mengkaji transaksi eksport NSO dalam  empertimbangkan kewajipan hak asasi kemanusiaannya sendiri’.

Institusi pertahanan Israel telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula perniagaan NSO, termasuk proses menerusi yang mana lesen eksport telah diberikan.

Senarai yang dipercayai sasaran Pegasus termasuk kira-kira 600 ahli politik, 180 jurnalis, 85 aktivis hak asasi kemanusiaan dan 65 pemimpin perniagaan.

NSO menegaskan perisiannya bertujuan hanya untuk memerangi pengganasan dan jenayah lain dan berkata ia telah mengeksportnya kepada 45 buah negara. – AFP

Gambar ilustrasi seorang lelaki menaip pada papan kekunci komputer di Washington pada 21 November 2016. – AFP