BUENOS AIRES, 14 APRIL – Pendakwa raya yang menyiasat kematian pemain legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona pada 2020 telah meminta kakitangan perubatan yang merawatnya dibicarakan atas tuduhan membunuh akibat kecuaian.
Dalam permintaan mereka kelmarin, pendakwa raya berkata bahawa pengabaian dan salah urus oleh lapan pakar perubatan yang bertanggungjawab terhadap Maradona meletakkannya dalam situasi tidak berdaya dan membiarkannya semasa dirawat di rumah, menurut pemfailan mahkamah yang dipetik oleh agensi berita rasmi Telam.
Maradona meninggal dunia pada usia 50 tahun pada 2020 semasa dalam pemulihan daripada pembedahan otak akibat darah beku, dan selepas puluhan tahun bertarung dengan ketagihan kokain dan alkohol.
Pakar bedah saraf dan doktor keluarga, Leopoldo Luque dan pakar psikiatri, Augustina Cosachov sedang disiasat berhubung kematian pemain legenda tersebut sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap kesihatan bekas bintang bola sepak berkenaan.
Enam yang lain, termasuk pakar psikologi, Carlos Diaz dan penyelaras perubatan, Nancy Forlini, turut dituduh.
Pihak pendakwaan menuduh mereka melakukan pembunuhan dengan dolus eventualis, satu kesalahan di mana seseorang itu cuai walaupun mengetahui kecuaian tersebut boleh menyebabkan kematian seseorang.
Mereka boleh berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun.
Menurut pendakwa raya, defendan adalah protagonis daripada kemasukan ke hospital yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kecuaian rawatan di rumah dan didakwa melakukan ‘siri penambahbaikan, salah urus dan kekurangan’. – AFP