Pakej rangsangan ekonomi akan diumumkan PM Interim

KUALA LUMPUR, 25 FEB – Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pakej rangsangan ekonomi akan diumumkan oleh beliau sebagai perdana menteri interim pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng. Menurutnya, pakej rangsangan tersebut yang pada awalnya dijadualkan diumumkan pada Khamis, 27 Februari, merupakan antara isu yang dibincangkan beliau dengan Dr Mahathir semasa pertemuan mereka pada pagi ini.

“Saya telah bertemu dengan Dr Mahathir pada pagi ini di pejabat beliau untuk berbincang tentang perkembangan politik negara. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan oleh Dr Mahathir untuk menangani kesan buruk global ke atas ekonomi Malaysia yang disebabkan penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP dan ahli Parlimen Bagan berkata Kementerian Kewangan telah memuktamadkan pakej rangsangan ekonomi tersebut pada Ahad, 23 Februari – hari terakhir beliau sebagai menteri kewangan – untuk dikemukakan kepada Dr Mahathir bagi kelulusan beliau pada hari berikutnya.

Bagaimanapun Dr Mahathir telah meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri ketujuh semalam (24 Feb). Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menerima peletakan jawatan beliau kemudiannya berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim. – Bernama