Pakistan arah sekat sementara media sosial

ISLAMABAD, 16 APRIL – Kerajaan Pakistan hari ini mengarahkan sekatan dalam masa sejam ke atas platform media sosial dan mesej segera selepas beberapa hari protes anti-Perancis yang ganas.

Dalam satu notis kepada Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan, Kementerian Dalam Negeri meminta satu ‘sekatan menyeluruh’ ke atas Twitter, Facebook, WhatsApp, YouTube dan Telegram sehingga jam 3 petang waktu tempatan.

Ia tidak memberikan alasan bagi sekatan itu, namun ia dibuat sehari selepas warga dan syarikat Perancis di Pakistan dinasihatkan oleh kedutaan mereka untuk meninggalkan negara itu sementara susulan rapat umum diketuai oleh parti ekstremis yang melumpuhkan sebahagian besar negara dan meragut dua nyawa pegawai polis.

Parti politik sering menggunakan media sosial untuk menghimpunkan sokongan dan pengumuman lazimnya dibuat sebelum solat Jumaat dan selalunya menarik orang ramai ke masjid di mana khutbah-khutbah lantang pada masa lalu mencetuskan protes.

Kebanyakan protes sudah pun disuraikan di kebanyakan bandar-bandar di Pakistan hari ini, namun di Lahore, beratur-ratus penyokong Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP) terus mengadakan bantahan duduk di sebuah sekolah agama dan ibu pejabat parti itu selepas solat Jumaat.

Lebih daripada 200 orang telah diberkas, menurut sumber polis manakala TLP mengatakan beberapa daripada penyokongnya mati.

Pihak berkuasa Pakistan pernah menggunakan pengharaman strategik media sosial dan memotong perkhidmatan mudah alih dalam usaha mengekang protes utama dengan mencegah pemimpin mengeluarkan seruan bagi demonstrasi besar-besaran.

Sentimen anti-Perancis sudah pun berleluasa selama berbulan-bulan di Pakistan sejak Presiden Emmanuel Macron memberikan sokongan kepada hak sebuah majalah satira menerbitkan semula karikatur menyamai Nabi Muhammad – satu tindakan yang dianggap kufur oleh kebanyakan Muslim. – AFP

Penyokong parti TLP solat Jumaat di sepanjang jalan yang disekat sebelum mengambil bahagian dalam satu protes atas penahanan ketua mereka dan bantahan terhadap Perancis di Lahore, 16 April. –AFP