Pakistan buka semula sekolah, universiti hari ini

ISLAMABAD, 14 SEPT – Ribuan sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh Pakistan dibuka semula mulai Selasa, menamatkan penutupan selama enam bulan disebabkan pandemik COVID-19, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Kementerian Pendidikan, semua institusi pendidikan tinggi dibuka semula mulai 15 September, pelajar di gred sembilan hingga 12 juga akan kembali ke sekolah pada hari yang sama. “Esok (Selasa) kita akan sambut semula jutaan kanak-kanak kembali ke sekolah. Adalah menjadi keutamaan dan tanggungjawab bersama untuk memastikan mereka dapat ke sekolah dengan selamat. Kami telah berusaha memastikan operasi sekolah selaras dengan peraturan keselamatan kesihatan awam #COVID19,” tulis Perdana Menteri Imran Khan di Twitternya.

Khan berkata, kerajaan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selamat.

Pada Mac, Pakistan menutup semua institusi pendidikan berikutan penularan COVID-19.

Pada 7 September, Menteri Pendidikan Shafqat Mahmood, ketika mengumumkan pembukaan semula kira-kira 300,000 sekolah, kolej dan universiti berkata pembukaan semula dibuat secara bertahap untuk mengelak berlaku gelombang virus yang lain. “Jika semuanya berjalan lancar, pelajar gred enam hingga lapan akan kembali ke sekolah pada 23 September, sementara taska dibuka pada 30 September,” kata Mahmood. – Bernama

Pekerja menyembur disenfektan di sebuah sekolah swasta di Karachi pada 14 September. – AFP