‘Pakistan bukan lagi tempat selamat militan’

ISLAMABAD, 17 FEB – Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menegaskan hari ini bahawa negaranya bukan lagi tempat yang selamat untuk militan, dan berkata pentadbirannya menyokong sepenuhnya proses perdamaian Afghan.

Komen Khan keluar tatkala Amerika Syarikat (AS) dan Taliban hampir-hampir memeterai satu perjanjian yang akan melihat tentera AS berundur dari Afghanistan.

Sebagai tukaran, Taliban akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Afghan, berpegang pada jaminan keselamatan dan berusaha untuk mencapai gencatan senjata komprehensif.

Pakistan, yang lama dituduh menyokong Taliban dan kumpulan pelampau lain di sepanjang sempadannya dengan Afghanistan, dilihat sebagai kunci untuk membantu mencapai dan melaksana mana-mana perjanjian.

“Saya boleh beritahu anda bahawa tidak adanya tempat selamat di sini,” kata Khan pada persidangan di ibu negara Islamabad.

“Apa jua situasi yang berlaku sebelum ini, sekarang, saya boleh beritahu anda, hanya ada satu perkara yang kami mahu: keamanan di Afghanistan.”

Komen Khan keluar selepas Sarwar Danish, naib presiden kedua Afghanistan, menuduh Pakistan membenarkan Taliban merekrut pejuang baharu dari kem pelarian Afghan di Pakistan. Khan sedang menyampaikan ucapan pada persidangan menandakan 40 tahun menjadi tuan rumah kepada pelarian Afghan dalam negaranya. – AFP

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menyampaikan ucapan ketika Sidang Kemuncak Pelarian Islamabad di Islamabad kelmarin. – AFP