Pakistan dakwa 250 peguam

LAHORE, 12 DIS – Pakistan hari ini telah mendakwa 250 orang peguam ‘mengkhianat’ yang dipercayai menjadi sebahagian kumpulan perusuh yang menyerbu sebuah hospital di bandar timur Lahore kelmarin.

Mereka telah membuat kekacauan dengan menendang dan menumbuk doktor serta kakitangan kesihatan yang bekerja serta merosakkan peralatan dan harta benda hospital, kata polis.

Tiga orang pesakit yang ditempatkan di hospital tersebut mati apabila doktor dan kakitangan perubatan meninggalkan mereka tanpa pengawasan selama beberapa jam, untuk melarikan diri daripada kumpulan perusuh, kata pegawai berkuasa.

Dakwaan yang tinggi mencerminkan kekecewaan pihak berkuasa atas keganasan yang berlaku. Kejadian tersebut mendapat kecaman dari seluruh negara dan pihak kerajaan mengatakan mereka yang mempunyai kaitan terhadap dakwaan ini akan diadili di mahkamah anti-keganasan dan akan mengenakan hukuman yang berat untuk mereka.

Rusuhan dilakukan oleh 500 peguam yang melepaskan kemarahan mereka disebabkan dakwaan salah laku oleh beberapa doktor hospital tersebut, terhadap salah seorang rakan mereka bulan sebelumnya, dengan melancarkan serbuan di Institut Kardiologi Punjab kelmarin, menumbuk dan mencederakan beberapa orang doktor dan kakitangan lain.

Mereka juga memukul beberapa orang doktor dengan kayu dan memecahkan tingkap, pintu dan peralatan perubatan di satu-satunya hospital jamtung yang dikendalikan oleh kerajaan di wilayah Punjab.

Sebuah kereta polis telah dibakar berdekatan dengan hospital sementara beberapa kereta dan motosikal di tempat letak kereta hospital dirosakkan. Polis berkata mereka terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan perusuh berkenaan. Kejadian tersebut mengambil beberapa jam untuk dikawal. – AP

Kereta polis dibakar oleh kumpulan perusuh semasa rusuhan di Lahore, Pakistan pada 11 Disember. – AP