Pakistan, India adakan rundingan

ISLAMABAD, 14 Mac – Delegasi Pakistan berlepas ke India hari ini untuk mengadakan perbincangan, susulan pertikaian yang tercetus antara dua negara jiran itu, lapor agensi berita Anadolu.

Perbincangan itu antara lain akan menumpukan mengenai deraf perjanjian koridor Kartarpur, yang akan menyediakan akses tanpa visa kepada jemaah Sikh India melawat tempat suci di Pakistan. Delegasi Pakistan diketuai oleh jurucakap Kementerian Luar, Mohammad Faisal.

“Kami berharap inisiatif Perdana Menteri, Imran Khan bukan hanya untuk memudahkan komuniti Sikh, terutamanya dari India, malah ia juga diharap dapat menamatkan konflik antara kedua-dua negara,” kata Faisal ketika ditemui pemberita sebelum berlepas.

Rundingan itu diadakan di Attari, sebuah kampung di India kira-kira 3 kilometer dari sempadan di Wagah.

“Kami bersetuju dengan cadangan India untuk mengadakan pertemuan di Attari, memperlihatkan semangat tolak ansur serta ikhlas bagi mengembalikan keamanan dan kestabilan serantau,” kata Faisal.

Tahun ini, Pakistan dan India bersetuju membuka laluan sempadan di Kartarpur.

Hubungan dua negara jiran Asia Selatan itu menjadi keruh berikutan serangan pengebom bunuh diri di Kashmir yang dikuasai India pada pertengahan Februari lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 40 tentera India terkorban.

Ketegangan terus meruncing apabila tentera kedua-dua pihak mendakwa telah menembak jatuh pesawat tentera masing-masing.

Sebelum ini, kedua-dua negara telah melalui tiga peperangan iaitu pada 1948, 1965 dan 1971, sejak perpecahan pada 1947. – Bernama

Gambar fail pada 11 Mac menunjukkan penduduk Kashmir ketika meninjau kerosakan di sebuah rumah yang dimusnahkan semasa pertempuran di daerah Pinglish, Tral, selatan Srinagar. – AFP