Pakistan ketatkan sempadan ketika kes COVID-19 meningkat

ISLAMABAD, 3 MEI – Pakistan telah menutup penyeberangan darat bersama Iran dan Afghanistan bagi para pengunjung serta menyekat penerbangan antarabangsa ketika kerajaan memberi amaran minggu-minggu ‘kritikal’ dalam perang ke atas COVID-19.

Sekatan sempadan itu telah diumumkan kelmarin ketika negara itu bersiap sedia untuk meraikan cuti Aidilfitri yang biasanya menyaksikan perjalanan besar-besaran antara bandar dan kampung serta kepulangan pekerja penghijrah dan warga Pakistan dari luar negara untuk meraikannya.

Para pegawai Pakistan berasa bimbang menyaksikan krisis koronavirus yang berlaku di negara jiran India.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam berkata pada Sabtu bermula Rabu, 80 peratus penerbangan akan ditangguhkan selama dua minggu terutamanya dari Timur Tengah sehingga pertengahan Mei apabila cuti Aidilfitri berakhir.

Penyeberangan secara berjalan kaki dengan Iran dan Afghanistan juga akan disekat, kata pasukan petugas koronavirus negara itu, menambah perdagangan akan dikecualikan. Pakistan bergelut untuk membendung gelombang ketiga jangkitan dengan lebih 800,000 kes dan 18,000 kematian dilaporkan. – AFP