Pakistan komited perluaskan dorongan pengambilan vaksinasi

ISLAMABAD – Yaseen Malik, pemilik rantaian kedai pakaian di ibu negara Pakistan, Islamabad, gembira melihat perniagaannya kembali pulih dan berkembang maju sekali lagi apabila kerajaan melonggarkan sekatan COVID-19 berikutan penurunan jangkitan baharu secara mendadak di negara itu.

“Kami menjalankan perniagaan ini lebih 30 tahun dan pernah memperoleh sejumlah wang yang lumayan setiap tahun terutamanya semasa musim perkahwinan, yang kira-kira jatuh dari bulan Oktober hingga Januari di Pakistan. Tetapi sejak dua tahun lalu, COVID-19 telah memberi kesan kepada perniagaan kami berikutan sekatan yang dikenakan. Walaupun kami berjaya meneruskan perniagaan kami dalam talian, jualan kekal pada tahap rendah,” kata Malik kepada Xinhua.

Kehidupan kini kembali normal dengan pelonggaran sekatan, katanya, sambil menambah ,“Kami dibenarkan untuk meneruskan perniagaan kami seperti sebelum ini kerana kerajaan Pakistan tidak sabar-sabar untuk memulihkan aktiviti ekonomi di negara ini.”

“Pasar-pasar dibuka. Acara besar-besaran, majlis dan perkahwinan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diperintahkan kini dilangsungkan semula, memberi nafas baharu kepada perniagaan kami,” tambahnya.

Pakistan melaporkan kurang daripada 300 kes harian selama beberapa hari sejak beberapa minggu lalu, dengan kadar positif turun di bawa satu peratus pada satu masa, menurut Pusat Perintah dan Operasi Kebangsaan (NCOC) Pakistan.

Kelihatan seorang orang awam mendapatkan suntikan vaksin di pusat vaksinasi di Islamabad, Pakistan. – Xinhua
Seorang lelaki menjual pelbagai jenis pelitup muka di pasar di Islamabad. – Xinhua

Memandangkan negara itu berjaya menangani COVID-19, NCOC yang mengawasi tindak balas Pakistan terhadap wabak itu, memutuskan untuk melonggarkan lagi sekatan di bandar berdasarkan kadar vaksinasi masing-masing.

Untuk menggalakkan dan memberi insentif kepada bandar-bandar dengan kemajuan vaksinasi yang sangat baik, forum itu telah memutuskan kelonggaran dalam campur tangan bukan farmaseutikal dan kembali kepada kehidupan normal, kata kenyataan daripada NCOC.

Pakar dan pegawai Pakistan percaya dengan tindak balas COVID-19 yang pragmatik dan pantas serta kempen imunisasi yang diperluaskan, koronavirus yang membawa maut semakin mereda apabila bilangan jangkitan baharu menurun baru-baru ini.

Bercakap kepada Xinhua, Ejaz Ahmad Khan, pakar penyakit berjangkit di Hospital Antarabangsa Shifa Islamabad, berkata mengawal virus maut itu adalah tugas yang sukar dan penuh dengan pelbagai cabaran.

Sejak tercetusnya penyakit itu di Pakistan, kerajaan bertindak dengan cara yang bertanggungjawab dan mengambil langkah berkesan untuk membendung penularan, kata Khan, sambil menambah model pengesanan, ujian dan kuarantin yang komprehensif telah diguna pakai, membantu mengenal pasti penyebaran COVID-19 dan tempat panas di kawasan sasaran penutupan untuk mengawal wabak.

Selain itu, dorongan vaksinasi memainkan peranan penting dalam mengurangkan jumlah kes baharu dan kematian, katanya.

“Ia dilakukan secara sistematik bermula dengan mereka yang paling berisiko seperti orang tua dan petugas kesihatan yang merawat pesakit COVID-19.”

Bagi memenuhi sasaran 100 peratus vaksinasi, program pemacuan vaksinasi ke rumah dan program kesedaran telah dilancarkan di negara ini, menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin secepat mungkin, tambahnya.

Khan berkata negara memperuntukkan berbilion rupee untuk perolehan dos vaksin yang tepat pada masanya dan mencukupi. Negara-negara sahabat, yang paling penting China, telah menderma berjuta-juta dos vaksin untuk membantu Pakistan melawan penyakit itu.

Pakistan baru-baru ini berjaya mencapai pencapaian penting dengan lebih daripada 100 juta dos vaksin telah diberikan di seluruh negara. Menurut pegawai kerajaan, 50 peratus daripada penduduk negara yang layak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Walau bagaimanapun, walaupun kempen vaksinasi yang giat dilakukan dan penurunan mendadak dalam kes COVID-19, pakar kesihatan memberi amaran terhadap gelombang kelima koronavirus pada musim sejuk jika orang ramai berhenti mengambil langkah keselamatan.

“Jutaan penduduk di negara ini masih perlu divaksinasi terhadap koronavirus. Mereka ini paling berisiko. Gelombang kelima koronavirus boleh melanda Pakistan jika kadar vaksinasi tidak ditingkatkan,” kata Pembantu Khas Perdana Menteri Pakistan mengenai Kesihatan Faisal Sultan, baru-baru ini.

Umar Javeed, pakar kesihatan awam di daerah Rawalpindi timur, berkata memandangkan semua jenis sekatan telah ditarik balik di kebanyakan bandar di Pakistan, aktiviti komersial telah disambung semula dengan giat, manakala orang ramai menjadi kurang sensitif, tidak mengikut SOP dengan betul dan tidak berhati-hati tentang ancaman virus maut yang masih berleluasa.

Perhimpunan besar-besaran diadakan tanpa pelaksanaan peraturan penjarakan fizikal yang sesuai. Orang ramai tidak mengambil serius bukti vaksinasi seperti sebelum ini semasa memasuki premis tertutup tertentu, Javeed memberitahu Xinhua, sambil menambah bahawa sikap santai keseluruhan orang ramai adalah berbahaya.

“Kita tidak seharusnya kehilangan kewaspadaan, kita harus terus mematuhi protokol COVID-19 yang ditetapkan kerajaan dan mendapatkan setiap individu yang layak diberi vaksin kerana kita akan kekal terdedah sehingga majoriti orang diberi vaksin,” katanya. – Xinhua