Pakistan minta PBB adakan mesyuarat tergempar

ISLAMABAD, 14 OGOS – Pakistan semalam secara rasmi meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan langkah tidak sah yang diambil India baru-baru ini untuk “mengubah status quo” di wilayah utara Jammu dan Kashmir, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi berkata beliau telah menghantar surat kepada anggota Majlis Keselamatan PBB yang meminta agar mesyuarat itu diadakan secepat mungkin.

Sambil memberi amaran bahawa Islamabad akan “mengambil tindakan sewajarnya untuk mempertahankan tanah airnya,” Qureshi berkata beliau telah memaklumkan Majlis Keselamatan bahawa tindakan India di Kashmir telah menjejaskan keamanan serantau dan global. – Bernama