Pakistan puji kepimpinan Mahathir

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Ramai rakyat Pakistan menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai idola mereka dan memuji kepimpinannya, menurut seorang wartawan dari Pakistan.

Javaid Ur Rehman, koresponden untuk saluran televisyen berita Pakistan’s 92 News di Kuala Lumpur berkata adalah tidak mengejutkan apabila Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengundang Dr Mahathir untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara itu bagi menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Pakistan pada 23 Mac sebagai tetamu utama.

Imran Khan, dalam kunjungan rasmi pertamanya ke Malaysia pada November tahun lepas, berkata beliau memandang Dr Mahathir sebagai sumber inspirasi untuk beliau melaksanakan transformasi di negaranya.

Legenda sukan kriket Pakistan itu menjadi Perdana Menteri Pakistan yang ke-22 pada Julai 2018.

Javaid, yang telah tinggal di Malaysia selama hampir 10 tahun, berkata, “Tun Dr Mahathir ialah antara pemimpin yang sangat terkenal di Pakistan dan kami memandang tinggi pencapaian Malaysia sebagai Harimau (Ekonomi) Asia. Kami mengharapkan yang berbaik.”

Tun Dr Mahathir Mohamad berucap selepas menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup yang disampaikan oleh Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya pada Majlis Anugerah PETRONAS SIC MOM, kelmarin. Ramai rakyat Pakistan menjadikan Tun Dr Mahathir sebagai idola mereka dan memuji kepimpinannya, menurut seorang wartawan dari Pakistan. – Bernama

Katanya hubungan erat antara Pakistan dan Malaysia melonjak ke paras lebih tinggi sempena lawatan Imran Khan itu.

“Ia satu lawatan yang telah lama ditungu-tunggu oleh rakyat Pakistan untuk memastikan hubungan baik dan perpaduan antara dua negara Islam itu akan berterusan,” katanya kepada Bernama.

Javaid berkata Malaysia sering menjadi fokus utama warganegara Pakistan, sama ada untuk datang bekerja atau melancong, kerana mereka tertarik dengan keindahan alam semula jadinya dan mengagumi keharmonian rakyat negara ini yang berbilang kaum dan agama.

Wartawan itu berkata sepanjang beliau tinggal di negara ini, beliau telah menulis kira-kira 90 ke 100 artikel untuk disiarkan di Pakistan.

Katanya ada banyak perkara yang boleh ditulis mengenai Malaysia kerana negara ini adalah antara hab terpenting di Asia Tenggara dan dalam kalangan negara-negara Harimau Asia dari segi ekonomi. – Bernama