ISLAMABAD, 22 JULAI – Pakistan hari ini meraikan pencapaian Samina Baig selepas menjadi wanita pertama dari negara itu berjaya menawan puncak K2, gunung kedua tertinggi di dunia.
Wanita berusia 31 tahun itu sampai ke puncak gunung pada ketinggian 8,611 meter awal hari ini sebagai sebahagian daripada tujuh ahli pasukan tempatan, dan disusuli oleh wanita Pakistan kedua, Naila Kiani, yang turut berjaya sampai ke puncak beberapa jam kemudian.
Perdana Menteri, Shehbaz Sharif memuji Baig dan Kiani, melalui Twitter rasmi beliau dengan menulis kedua-dua wanita itu ‘sebagai simbol keberanian’.
Sementara itu, pendaki wanita warga Bangladesh, Wasfia Nazreen juga menjadi individu pertama dari negaranya untuk sampai ke puncak gunung hari ini, penganjur ekspedisi memberitahu AFP.
Selain itu, Afsaneh Hesamifard dari Iran dan Nelly Attar dari Lubnan, masing-masing menjadi wanita pertama dari negara masing-masing yang berjaya menawan K2, menurut Alpine Club of Pakistan.
Pakistan mempunyai lima daripada 14 buah gunung yang memiliki ketinggian lebih daripada 8,000 meter, dan berjaya menawan kesemua gunung-gunung tersebut dianggap sebagai pencapaian terbesar bagi mana-mana pendaki. – AFP