Pakistan tahan suspek rogol ibu depan anak di lebuh raya Punjab

LAHORE, PAKISTAN, 13 SEPT – Polis Pakistan hari ini berkata mereka telah menangkap seorang daripada dua suspek yang berkaitan dengan kes rogol seorang wanita yang diseret keluar dari kereta dan menyerangnya di hadapan anak-anaknya selepas kereta wanita itu rosak di tepi jalan yang sepi di tengah wilayah Punjab.

Polis berkata wanita itu telah mengunci pintu ketika keretanya kehabisan minyak.

Dia menghubungi polis bantuan lebuh raya untuk mendapatkan bantuan.

Ketika menunggu ketibaan bantuan, polis mengatakan dua penyerang telah memecah cermin keretanya, mengheretnya keluar dan memperkosanya di hadapan anak-anaknya yang ketakutan.

Suspek juga dituduh mencuri wang dan barangan kemas daripada wanita tersebut sebelum melarikan diri.

Ketua siasatan jenayah dari polis Punjab, Atif Nazeer, berkata penangkapan seorang daripada lelaki itu telah dibuat selepas pasukan keselamatan mengesan rekod telefon dan mengumpulkan maklumat forensik dari tempat kejadian dekat bandar Lahore. Nazeer berkata suspek telah menafikan sebarang penglibatan dalam kes rogol tersebut yang berlaku pada Rabu.

Beberapa media tempatan telah melaporkan yang suspek menyerah diri kepada polis untuk mengaku tidak bersalah. – AP