Pakistan tanam berjuta-juta pokok atasi perubahan iklim

HEROSHAH, Pakistan – Di sekitar kawasan Heroshah, bukit-bukit yang sebelum ini gersang sudah mula ditutupi dengan hutan yang luas.

Perubahan itu berlaku selepas beratus-ratus juta pohon hijau ditanam di barat laut Pakistan bagi mengatasi masalah penebangan hutan.

Sepanjang tahun 2015 dan 2016, kira-kira 16,000 buruh ditugaskan untuk menanam lebih daripada 900,000 pokok eucalyptus di sekitar kawasan Heroshah.

“Sebelum ini, tanah di sini dibakar sepenuhnya. Sekarang mereka mempunyai ‘emas hijau’,” kata pengurus hutan, Pervaiz Manan sambil menunjukkan gambar perbezaan di kawasan tersebut.

Menurut Manan, pokok-pokok baharu itu dapat membantu mengembalikan keindahan, mengawal hakisan, mengurangkan kesan perubahan iklim dan mengatasi masalah banjir.

Sepanjang tahun 2015 dan 2016, kira-kira 16,000 buruh ditugaskan untuk menanam lebih 900,000 pokok eucalyptus di sekitar kawasan Heroshah. – AFP
Keadaan jalan raya yang berliku-liku di tapak penanaman pokok di Buner di barat laut Pakistan. – AFP
Pervaiz Manan, ketua jabatan perhutanan Khyber Pakhtunkhwa, semasa ditemu bual oleh AFP di salah sebuah tapak penanaman pokok di daerah Heroshah di barat laut Pakistan. – AFP

Penduduk juga melihatnya sebagai satu rangsangan ekonomi. Bagaimanapun, pihak berwajib perlu memastikan pokok baharu tidak ditebang untuk dijadikan kayu api di wilayah yang mempunyai masalah bekalan elektrik itu.

“Sekarang bukit kami sudah berguna, ladang kami juga memberi faedah. Ia memberi manfaat yang sangat besar kepada kami,” ujar seorang pemandu, Ajbir Shah.

Di sebelah utara, kawasan Khyber Pakhtunkhwa yang memiliki banyak lembah tinggi telah digondolkan oleh rejim Taliban semasa memerintah Pakistan dari tahun 2006 hingga 2009. Kini, lembah tersebut diliputi dengan pokok pain.

“Anda tidak boleh berjalan tanpa memijak anak benih,” ujar seorang pekerja jabatan hutan, Yusufa Khan.

Perladangan di Heroshah dan Swat adalah sebahagian daripada Tsunami Bilion Pokok iaitu satu program penanaman 300 juta anak pokok daripada 42 spesies.

Menurut pengurusan projek itu, sebanyak 150 juta pokok diberikan kepada pemilik tanah manakala 730 juta ditanam di kawasan hutan yang ditebang.

Pengurus Cawangan Pakistan World Wildlife Fun yang menjalankan audit bebas ke atas projek itu, Kamran Hussain berkata, angka yang diperoleh masih kurang memuaskan, namun melebihi sasaran 1.06 bilion pokok.

“Kami 100 peratus yakin bahawa angka pokok ini betul. Semuanya ada dalam talian. Masyarakat boleh akses maklumat ini,” ujarnya.

Program berkenaan turut mendapat pujian daripada sebuah pertubuhan hijau, Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa yang menyebutnya sebagai kisah kejayaan pemuliharaan sejati.

Pada mulanya, projek berkenaan mendapat kritikan kerana objektifnya yang tidak realistik.Pihak berkuasa Pakistan menyatakan, hanya 5.2 peratus negara itu dilindungi dengan hutan berbanding 12 peratus yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di sebelah utara, kawasan Khyber Pakhtunkhwa yang memiliki banyak lembah tinggi telah digondolkan oleh rejim Taliban semasa memerintah Pakistan dari tahun 2006 hingga 2009. Kini, lembah tersebut diliputi dengan pokok pain. – AFP
Jabatan Hutan Wilayah, Riaz Ahmed Wagan berkata, lebih 60 peratus dari hutan di tebing Sungai Sindh telah ditebang secara besar-besaran pada tahun 1980-an. – AFP

Hanya sebatang pokok besar wujud di kampung Garhi Bit yang terletak berhampiran sebuah masjid kecil.

Seorang penduduk tempatan, Dad Mohammad berkata, pokok berkenaan berdiri teguh di situ sejak satu abad lalu.

“Sebelum ini, banyak pokok besar yang sama jenis dengannya. Kebanyakannya telah mati akibat kekurangan air. Jadi, kami menebangnya,” katanya.

Jabatan Hutan Wilayah, Riaz Ahmed Wagan berkata, lebih 60 peratus daripada hutan di tebing Sungai Sindh telah ditebang secara besar-besaran pada tahun 1980-an.

“Ia satu bencana,” katanya sambil menambah bahawa perhutanan masih menjadi keutamaan terendah dalam agenda pemerintahan daerah.

Tsunami Bilion Pokok dibiayai oleh kerajaan Khyber Pakhtunkhwa bermula pada November 2014.

Pada awal tahun lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan Projek Hijau Pakistan yang bertujuan untuk menanam 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun di seluruh negara.

Pemimpinnya, Ibrahim Kham memaklumkan, projek itu terdiri daripada pembaharuan perundangan kepada perlindungan hidupan liar. “Lebih satu perempat daripada projek itu dilakukan sehingga bulan April lalu,” katanya. Ibrahim turut bersumpah untuk menjadikan persekitaran sebagai isu penting dalam pilihan raya dan menanam sebanyak 10 bilion pokok di seluruh negara. “Setiap kanak-kanak di Pakistan sepatutnya menyedari isu alam sekitar,” katanya.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan cita-cita itu akan diterjemahkan dalam peti undi.

Peguam dan aktivis alam sekitar, Raf Rafi Allam memaklumkan, pengundi Pakistan lebih terpesona dengan projek-projek infrastruktur dan bukannya persekitaran.

“Ini akan menjadi yang pertama,” katanya kepada AFP. – AFP