Pakistan usaha kesan puluhan ribu tabligh

LAHORE, 5 APRIL – Pihak berkuasa Pakistan sedang mengesan puluhan ribu individu yang menghadiri perhimpunan Tablighi Jamaat, di sini, pada bulan lalu ketika negara ini dilanda wabak COVID-19.

Ia bertujuan membuat saringan kesihatan atau kuarantin peserta acara yang berlangsung dari 10 hingga 12 Mac lalu itu, susulan kebimbangan bahawa mereka mungkin menyebarkan virus berkenaan di Pakistan dan negara lain.

Penganjur memaklumkan, kira-kira 100,000 orang menghadiri perhimpunan terbabit yang dilaporkan berlangsung walaupun kerajaan meminta ia dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.

Seorang pegawai di pejabat pesuruhjaya daerah Lahore yang enggan dikenali memberitahu AFP, lokasi perhimpunan itu kini ditutup.

“Pihak berkuasa di semua daerah (negara ini) sedang berusaha mengesan mereka yang menghadiri acara itu,” katanya.

Kira-kira 2,500 peserta termasuk 1,500 warga asing yang masih berada di sekitar lokasi acara berkenaan, telah dikuarantin. Pihak berkuasa memberitahu AFP, sekurang-kurang 154 peserta disahkan positif COVID-19 dengan dua kematian, setakat ini.

Berdasarkan senarai nama diberikan pihak penganjur serta melalui makluman lisan, pihak berkuasa hingga kini telah berjaya mengesan kira-kira 7,000 peserta di wilayah Punjab yang seterusnya dikuarantin.

Menurut penganjur, peserta perhimpunan itu meliputi warga asing dari negara seperti China, Indonesia, Nigeria dan Afghanistan. Kira-kira 1,500 warga asing sedang dikuarantin di Pakistan, namun yang lain telah meninggalkan negara ini tanpa menjalani saringan kesihatan.

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan dua kes pertama membabitkan warga Palestin yang menghadiri perhimpunan itu.

Sementara itu, seorang anggota kanan pergerakan tabligh terbabit, Naeem Butt, menjelaskan acara berkenaan telah dibatalkan selepas dua hari apabila diminta berbuat sedemikian oleh pihak berkuasa. – AFP