Palau hampir capai 100% vaksinasi

KOROR, PALAU, 14 OKT – Negara Pasifik yang kecil, Palau telah muncul sebagai salah sebuah tempat yang penduduknya sudah ramai divaksinasi di dunia, dengan lebih 99 peratus penduduk yang layak telah lengkap menerima vaksin anti-COVID-19, menurut data yang disiarkan hari ini.

Dengan penduduk sekitar 18,000, hampir 15,000 orang sepenuhnya telah divaksinasi, menurut kementerian kesihatan dan perkhidmatan manusia di negara itu. Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata ia bermaksud lebih 99 peratus penduduk layak telah lengkap divaksin. Dalam kenyataan itu, badan kesihatan memujinya sebagai kadar vaksinasi ‘luar biasa’ namun memberi amaran liputan di tempat lain Pasifik Selatan masih belum lengkap.

Menurut IFRC, jumlah itu membolehkan Palau yang terletak kira-kira 1,000km dari timur Filipina bersaing tempat teratas di dunia bagi kadar vaksinasi COVID-19.

Palau merupakan salah sebuah daripada beberapa negara yang berjaya mengelak COVID-19 selepas menutup sempadannya pada awal pandemik, meskipun ekonominya bergantung pada sektor pelancongan. Kes sifar COVID-19 telah dibatalkan pada Ogos apabila dua orang yang tiba dari Guam telah diuji positif. – AFP