Palestin bantah tindakan Brazil

RAMALLAH, 1 April – Pihak Berkuasa Palestin (PA) kelmarin memanggil pulang dutanya ke Brazil sebagai bantahan terhadap langkah membuka sebuah pejabat diplomatik negara itu di Baitulmaqdis, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Luar.

Kenyataan berkenaan menyebut keputusan Brazil itu dikecam dan merupakan satu pelanggaran terhadap legitimasi antarabangsa dan keputusannya yang amat jelas, sambil menambah bahawa langkah tersebut adalah satu pencabulan langsung ke atas penduduk Palestin dan hak-hak mereka.

“Keputusan itu adalah respons positif kepada tekanan Amerika-Israel bagi mempertahan pendudukan, petempatan dan pengyahudian Baitulmaqdis yang diduduki, mengilhakkannya serta mengenakan undang-undang Israel secara paksa di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu juga menyebut kepimpinan Palestin kini berunding dengan pelbagai negara Arab untuk mengambil pendirian yang bersatu dalam mendepani sikap sesetengah negara. – Bernama