Palestin boikot pelan damai

MANAMA, 25 JUN – Selepas menunggu dua setengah tahun, pentadbiran Amerika Syarikat (AS) melancarkan pelan perdamaian Timur Tengah hari ini, dengan satu inisiatif ekonomi yang dipulaukan oleh Palestin.

Usaha perdamaian Timur Tengah oleh Presiden AS, Donald Trump, adalah tidak sama dengan percubaan AS sebelum ini. Tidak adanya rundingan mengenai tukaran tanah, penubuhan negara Palestin atau isu politik lain yang telah menyakitkan hati diplomat berdekad-dekad lamanya.

Pentadbiran Trump berkata ia akan membincang isu politik kemudian.

Untuk sekarang, pelannya akan dimulakan dengan koktel dan makan malam pada petang ini di Bahrain pada ‘bengkel ekonomi’ dua hari di sebuah hotel mewah yang menghadap Teluk.

Dipimpin oleh menantu dan penasihat Trump, Jared Kushner, rangka kerja ‘Perdamaian kepada Kemakmuran’ menawarkan prospek pelaburan berjumlah AS$50 bilion di wilayah Palestin dan negara jiran Arab dalam tempoh 10 tahun.

Menyenaraikan beberapa projek untuk memajukan jalan raya, lintasan sempadan, penghasilan tenaga dan pelancongan, rangka kerja itu menetapkan matlamat optimistik untuk mewujudkan satu juta pekerjaan untuk penduduk Palestin.

Namun Pihak Berkuasa Palestin dan pesaingnya Hamas telah mengecam inisiatif itu, berkata ia bersamaan dengan usaha oleh Trump untuk membeli mereka sebagai tukaran kepada penyerahan negara mereka sendiri.

“Untuk Amerika menukar perjuangan daripada isu politik kepada isu ekonomi, kami tidak dapat menerimanya,” kata presiden Palestin, Mahmud Abbas pada Ahad.

Beratus penduduk Palestin membanjiri jalan di Tebing Barat semalam untuk mengutuk persidangan itu. – AFP

Kedai ditutup ketika mogok umum di Bandar Gaza kelmarin dalam bantahan terhadap persidangan ekonomi Timur Tengah yang ditaja oleh AS di Bahrain. – AFP