Palestin kutuk Israel lulus pengambilalihan tanah

RAMALLAH, 17 JAN – Palestin kelmarin mengutuk tindakan Israel meluluskan pengambilalihan tanah di Tebing Barat bagi mewujudkan rizab alam semula jadi, lapor agensi berita Xinhua.

Kementerian Hal Ehwal Luar Palestin dalam satu kenyataan menyatakan, langkah itu dianggap sebagai rampasan tanah bagi mengambil sejumlah besar kawasan di Tebing Barat.

Ia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah untuk melaksanakan Ketetapan PBB 2334.

Ketetapan itu yang diluluskan pada 2016, menetapkan bahawa pembentukan penempatan di wilayah Palestin, kawasan yang diduduki sejak 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur adalah sebagai ‘tidak mempunyai kesahihan perundangan’.

Pada Rabu, Kementerian Pertahanan Israel meluluskan pelan membentuk tujuh rizab alam sekitar baharu di Kawasan C, Tebing Barat. Pelan itu termasuk memperluas 12 tapak alam sekitar sedia ada, seminggu selepas Menteri Pertahanan Israel Naftali Bennett mengisytiharkan kempen untuk menguatkuasakan kawalan ke atas kawasan terbabit.

Kementerian Israel itu menyatakan, ia adalah kelulusan pertama rizab alam sekitar Israel di Kawasan C Tebing Barat sejak Perjanjian Oslo.

Menerusi Perjanjian Oslo yang ditandatangani Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan Israel pada 1990, Tebing Barat dipecahkan kepada tiga kawasan.

Kawasan A dikuasai Palestin, Kawasan B di bawah kawalan Palestin dan pihak keselamatan Israel yang meliputi kira-kira 22 peratus Tebing Barat dan Kawasan C di bawah kawalan penuh Israel. – Bernama

Penunjuk perasaan Palestin membakar tayar semasa pertempuran dengan pasukan Israel berikutan demonstrasi mingguan terhadap pengambilalihan tanah Palestin oleh Israel, di perkampungan Kfar Qaddum. – AFP