Palestin kutuk serangan Israel

BANDAR GAZA, 13 Mac – Beberapa kumpulan di Palestin semalam mengutuk keganasan Israel di kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan menggesa orang ramai agar bersatu untuk mempertahankan tempat suci itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Kumpulan terbabit berkata ketegangan yang memuncak adalah kesinambungan dasar sembarangan Israel terhadap rakyat Palestin, tanah dan tempat suci mereka, dengan merujuk kepada serbuan di kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.

“Halangan terhadap jemaah yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa, pengyahudian, pendudukan, pemusnahan dan deportasi ibu kota (Baitulmaqdis), tidak akan menjejaskan tekad penduduk Palestin untuk terus setia kepada gerakan penentangan serta tanah tumpah darah kami,” kata jurucakap pergerakan Fatah, Atef Abu Saif, dalam satu kenyataan. Saif berkata insiden di Baitulmaqdis adalah akibat sikap komuniti antarabangsa yang sekadar berdiam diri menyaksikan pencabulan rejim itu ke atas semua perjanjian antarabangsa dan hak asasi manusia. – Bernama

Penduduk Palestin menunaikan solat di luar pintu masuk Masjid Al-Aqsa tatkala polis tentera Israel bertindak menghalang pintu masuk ke masjid itu, kelmarin. – AP